Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Perit jerih sebuah keluarga melakukan penyelidikan selama 18 tahun mengusahakan Ladang Anggur Saloma di Batu 8 Lekir, di sini, akhirnya berbaloi apabila mereka menemukan teknik penghasilan buah sepanjang tahun.

Sebelum ini mereka hanya dapat menuai hasil dua kali setahun kerana semua buah anggur perlu dipetik selepas 120 hari atau empat bulan dari tempoh pokok berbunga.

Idea menanam pokok anggur pada asalnya dicetuskan pasangan suami isteri, Shuhaimi Ishak, 59, dan Siti Saloma Saad, 59, pada 2006 apabila Shuhaimi yang bekerja di Burkina Faso terkejut melihat masyarakat di benua Afrika itu berjaya mengusahakan tanaman berkenaan.

Seterusnya minat mendalam itu diperturunkan kepada anak sulung mereka, Muhammad Danial Shuhaimi, 30.

Muhammad Danial berkata, proses percambahan bunga pada asasnya dilakukan dengan pangkas dan meluruhkan semua daun dengan cara pemotongan manual.

MUHAMMAD Danial ditemani ibu, Siti Saloma menggunakan Brix meter bagi mengukur tahap gula buah anggur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MUHAMMAD Danial ditemani ibu, Siti Saloma menggunakan Brix meter bagi mengukur tahap gula buah anggur. FOTO Muhamad Lokman Khairi

"Pokok anggur ini tak sama sifat seperti pokok tropika. Pokok anggur memerlukan suhu yang rendah untuk daunnya luruh. Di kawasan Mediterranean di Eropah, apabila tiba musim luruh di sana, suhu sekeliling akan menurun, lalu daunnya luruh secara automatik

"Di Malaysia, kita perlu tipu pokok ini kononnya ia sedang melalui musim luruh. Oleh sebab itu kita potong semua daunnya bagi membolehkan bunga bercambah.

"Apabila cukup tempoh empat bulan, buah anggur boleh mencapai tahap kemanisan antara 25 brix sehingga 28 brix dan boleh mula dituai," katanya.

Menurut graduan Diploma Pengurusan Ladang Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, keluarganya mengusahakan satu ekar tanah di belakang rumah dengan membahagikan ia kepada dua bahagian iaitu 0.5 ekar khas untuk menjalankan penyelidikan ke atas beberapa varieti pokok anggur, manakala 0.5 ekar lagi digunakan sebagai simulasi tanaman.

Muhammad Danial berkata, pokok anggur sensitif terhadap kelembapan udara kerana ia mengundang kewujudan kulat yang akhirnya menyerang daun dan batang pokok yang boleh menyebabkan kerugian.

"Mahu tanam pokok anggur di Malaysia ini perlukan kesabaran dan minat yang kuat kerana tidak semua cara penjagaan yang dipraktikkan di negara luar boleh menjamin ia berbuah apabila ditanam di sini.

"Malahan, setiap varieti berbeza panduan penjagaannya. Kita yang perlu ikut kehendak pokok itu untuk pastikan ia terus hidup, bermaksud pembajaaan, waktu siram serta pangkas berbeza. Kalau kita suka-suka hati pangkas untuk pembuahan, pokok tidak akan keluarkan bunga.

"Oleh sebab itu, kami perlu sentiasa lakukan kajian termasuk menghantar sampel daun dan buah ke makmal," katanya.

Bercerita mengenai penemuan teknik penghasilan buah anggur sepanjang tahun, Muhammad Danial berkata, perkara berkenaan terjadi secara tidak sengaja apabila dia mendapati pokok anggur varieti Alphonso Lavelle yang sedang berbuah dua bulan dengan tidak semena-mena mencambahkan bunga yang baru.

Jelasnya, dia menguji semula varieti berkenaan bagi mengenalpasti faktor-faktor yang membolehkan perkara itu berlaku.

"Saya teliti semula faktor seperti keadaan cuaca, jenis baja digunakan, keadaan batang pokok dan beberapa lagi faktor dan mencuba semula sehingga terbukti hasilnya berjaya.

"Dengan penemuan ini, pengunjung yang datang ke ladang selepas ini sentiasa dapat melihat anggur dan dapat merasai pengalaman memetik gugusan buah pada bila-bila saja.

"Disamping hasil produktiviti ladang bagi anggur varieti Alphonso Lavelle juga dijangkakan akan lebih meningkat selepas ini," katanya.

Muhammad Danial berkata, anggaran kasar pendapatan setiap enam bulan, Ladang Anggur Saloma boleh menghasilkan kurang 500 kilogram (kg) anggur yang dijual dengan harga RM40 bagi sekilogram.

Antara varieti lain yang sudah dikaji dan didapati mampu memberi nilai komersial ialah IAC, Isabella Madu, Long White Malaga, Carolina Black Rose dan Kyoho.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 4:58 PM