Shamsul Munir Safini


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berjaya menghalang perkahwinan kanak-kanak perempuan Rohingya berusia 11 tahun dengan pasangannya lelaki Rohingya berusia 21 tahun di Taman Perai, Butterworth, Rabu lalu.

Ia susulan serbuan kira-kira 5 petang oleh sekumpulan aktivis sosial dan pihak berkuasa di majlis pasangan itu beberapa jam sebelum majlis akad nikah pada malamnya.

Sumber JHEAIPP berkata, majlis akad nikah yang dilakukan seorang kadi warga asing dan tidak bertauliah itu melanggar peraturan ditetapkan.

Malah, katanya, perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan belum cukup umur adalah dilarang.

“Susulan serbuan itu polis menghubungi JHEAIPP yang kemudian menghubungi keluarga kanak-kanak perempuan berkenaan meminta supaya tidak meneruskan perkahwinan itu.

“Berikutan itu, satu laporan polis dibuat pada petangnya sebelum pihak berkuasa merujuk perkara itu ke Bahagian Nikah, Rujuk dan Cerai JHEAIPP,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan yang tular di media sosial mengenai pernikahan seorang kanak-kanak perempuan Rohingya dengan lelaki berusia 21 tahun.

Dalam laporan itu, sekumpulan aktivis berjaya menghalang perkahwinan itu sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menurut sumber, pihaknya kemudian menjelaskan peraturan dan undang-undang perkahwinan di negara ini kepada keluarga kanak-kanak itu.

“Selain itu, kami turut memberitahu kesan yang berlaku sekiranya perkahwinan itu diteruskan termasuk kepada kanak-kanak itu sendiri.

“Kesannya merangkumi aspek kesihatan dan sebagainya serta meminta mereka menunggu untuk mengahwinkan anak perempuan mereka selepas dia cukup umur kelak,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu selesai selepas waris kanak-kanak itu bersetuju untuk membatalkan pernikahan anak mereka.

Menurutnya, kenduri pada malam Rabu itu diteruskan namun tiada majlis akad nikah berlangsung dan banyak pihak salah faham mengenainya.

“Banyak gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung dan mereka sudah berkahwin namun ia sebaliknya.

“Selepas dimaklumkan pihak berkuasa dan menghubungi waris mengenai perkara itu, mereka bersetuju membatalkan upacara akad nikah namun akan tetap meneruskan majlis kenduri di rumah mereka di Butterworth,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 6:53 PM
PASANGAN warga Rohingya yang ditemui selepas upacara akad nikah pasangan itu berjaya dihalang JHEAIPP. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
PASANGAN warga Rohingya yang ditemui selepas upacara akad nikah pasangan itu berjaya dihalang JHEAIPP. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal