PERALATAN kenduri yang sepatutnya digunakan untuk akad nikah  kanak-kanak perempuan Rohingya dengan pasangannya yang dihalang JHEAIPP Rabu lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
PERALATAN kenduri yang sepatutnya digunakan untuk akad nikah kanak-kanak perempuan Rohingya dengan pasangannya yang dihalang JHEAIPP Rabu lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang akan memanggil bapa dan kanak-kanak perempuan 11 tahun warga Rohingya yang dihalang daripada berkahwin dengan seorang lelaki berusia 21 tahun Rabu lalu bagi tujuan kaunseling.

Pegawai JKM Daerah Seberang Perai Tengah, Bazlin Hasbi Bedol berkata, selain kaunseling, pihaknya juga akan memantau keadaan kanak-kanak itu selain membuat lawatan ke rumah mereka di Taman Perai, Butterworth.

Beliau berkata, dua beranak berkenaan Mohammed Somir Abdul Razak, 38, dan anak perempuannya Nour Aishah, 11, akan dipanggil bagi menghadiri sesi kaunseling di JKM SPT dalam tempoh terdekat bagi mengikut prosedur biasa jabatan.

“Ia bertujuan memberi mereka pendedahan kesan dan akibat daripada perkahwinan bawah umur dan beberapa perkara lain yang akan diberitahu kepada mereka.

“Selain itu, JKM negeri juga akan mengadakan lawatan berkala ke rumah dua beranak berkenaan bagi memastikan dia tidak berkahwin sehingga cukup umur kelak,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan berkala juga akan dilakukan di rumah mereka bagi memastikan lelaki berusia 21 tahun berkenaan tidak tinggal bersama di situ kerana mereka masih boleh bernikah tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

“Kami juga akan memastikan kanak-kanak perempuan itu tidak tinggal di tempat lain dan tinggal bersama keluarganya di situ,” katanya.

Bazlin berkata, kes ini adalah pertama kali berlaku di daerah ini sejak tahun lalu membabitkan warga asing.

Menurutnya, di daerah lain terdapat beberapa kes perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur juga membabitkan warga asing.

Harian Metro semalam melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berjaya menghalang perkahwinan kanak-kanak perempuan Rohingya berusia 11 tahun dengan pasangannya lelaki Rohingya berusia 21 tahun di Taman Perai, Butterworth, Rabu lalu.

Ia susulan serbuan kira-kira jam 9.30 malam oleh sekumpulan aktivis sosial dan pihak berkuasa di majlis pasangan itu beberapa jam sebelum majlis akad nikah berlangsung.

Sumber JHEAIPP dipetik berkata, majlis akad nikah yang dilakukan seorang kadi warga asing dan tidak bertauliah itu melanggar peraturan ditetapkan.

Malah, katanya, perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan belum cukup umur adalah dilarang.

Berita berkaitan

'Saya nak kahwin'

Perkahwinan terlarang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 5:53 PM