LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Yusmizal Dolah Aling


PERKAHWINAN pada usia bawah 16 tahun bukanlah amalan dan budaya etnik Rohingya dan sebarang usaha untuk membiarkan ia berlaku hanya akan memburukkan lagi imej golongan itu khususnya di negara ini.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata sebelum ini, antara isu yang memungkinkan sesuatu perkahwinan dilangsungkan dalam usia muda hanya membabitkan mereka yang melebihi usia itu atau mempunyai masalah kewangan yang kritikal.

Katanya, ketika ini tiada sebarang undang-undang khusus berhubung perkahwinan dan perceraian masyarakat Rohingya di Malaysia seperti yang dilalui rakyat negara ini dan ia menjadikan proses terbabit menjadi rumit dan bukannya semudah yang disangka banyak pihak.

“Tidak seperti di sini, kami tidak mempunyai rekod perkahwinan dan perceraian masyarakat Rohingya. Ini menyebabkan lebih banyak masalah dalam perkahwinan kerana kebanyakan pasangan Rohingya berkahwin pada usia muda dengan pengetahuan terhad tentang keluarga dan keibubapaan.

“MERHROM menerima banyak kes seperti ini. Ada yang berkahwin tanpa pengetahuan keluarga dan diaturkan pihak lain atau ustaz tertentu. Setiap Rohingya yang ingin berkahwin, mereka akan membayar RM100 hingga RM200 kepada ustaz yang menjalankan perkahwinan itu.

“Selain itu, bayaran sebanyak RM200 hingga RM250 dikenakan untuk mendapatkan sijil perkahwinan daripada pihak lain yang dikeluarkan oleh pertubuhan Rohingya, ada juga tanpa sebarang majlis perkahwinan,” katanya.

Beliau mengulas isu perkahwinan Nour Aishah Mohammed Somir, 11, bersama seorang lelaki yang menjadi tular selepas majlis akad nikah diserbu pihak berkuasa agama, 30 Januari lalu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berjaya menghalang perkahwinan itu dalam serbuan 9.30 malam oleh sekumpulan aktivis sosial dan pihak berkuasa di majlis pasangan itu beberapa jam sebelum majlis akad nikah berlangsung.

Zafar Ahmad berkata, dalam sistem pendidikan formal untuk komuniti Rohingya menolak unsur perkahwinan paksa kerana ia dianggap satu bentuk pemerdagangan manusia dan jenayah yang serius.

Menurutnya, sebagai mangsa penghapusan etnik dalam tempoh yang lama, sudah pasti masyarakat Rohingya mempunyai masalah kewangan yang kritikal dan ia mendorong ibu bapa menentukan perkahwinan anak-anak mereka sebagai jalan keluar masalah itu.

“Kami berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dan rakyat negara ini yang banyak membantu komuniti Rohingya dan berharap isu ini dapat diselesaikan demi kebaikan bersama selepas ini. Saya juga ingin mencadangkan agar isu agama yang membabitkan Rohingya tertakluk kepada undang-undang syariah di Malaysia selain mendapat pendidikan formal di sini,” katanya.

Berita berkaitan:

'Saya nak kahwin'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:39 PM