Shahrinnahar

SURI rumah yang pada mulanya hanya mahu membuat pinjaman RM5,000, terpaksa membayar harga lebih mahal apabila menanggung kerugian RM10,750.

Mangsa yang berusia 44 tahun berasal dari Bandar Pusat Jengka, Maran diperdaya sindiket yang menawarkan perkhidmatan pinjaman tidak wujud menerusi laman web.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik mendapatkan pinjaman selepas melihat iklan pinjaman wang oleh sebuah syarikat di Internet 27 Januari lalu dan meninggalkan maklumat dirinya sebelum dihubungi individu dikenali Mr Jay melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, lelaki itu memperkenalkan diri dari syarikat menyediakan pinjaman dan selepas perbincangan mangsa bersetuju membuat pinjaman RM5,000 dan diminta membuat pembayaran RM600 sebagai wang pendahuluan.

“Mangsa kemudian membuat bayaran itu sebelum suspek meminta bayaran tambahan RM1,200 kononnya untuk insurans bagi pinjaman berkenaan yang dibayar mangsa.

“Mangsa kemudiannya dihubungi seorang lelaki kononnya pengurus syarikat itu yang menawarkan pinjaman dinaikkan daripada RM5,000 ke RM10,000 dengan kadar RM318 sebulan selama tiga tahun,” katanya hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berminat dengan tawaran itu dimaklumkan perlu membayar sagu hati RM1,000 kepada syarikat pinjaman itu bagi membolehkan permohonannya diluluskan.

“Mangsa menjelaskan bayaran RM1,000 pada 30 Januari lalu tetapi selepas itu dia diminta membuat pelbagai pembayaran kononnya untuk peguam, insurans dan wang proses yang keseluruhannya RM10,750.

“Khamis lalu, suspek meminta mangsa membayar RM5,000 kononnya bagi diserahkan kepada pihak bank, namun pada masa itu dia mula mengesyaki sesuatu sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 12:13 PM