DR Amin Senin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR Amin Senin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Pendidikan akan menambah baik program yang ditawarkan di Kolej Vokasional (KV) di bawah kendalian kementerian bagi memastikan setiap program ditawarkan memperoleh akreditasi sewajarnya, melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran pelatih.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, selepas tujuh tahun program peringkat Diploma Kolej Vokasional diperkenalkan, sudah tiba masanya program yang ditawarkan di KV memberi keutamaan kepada standard pendidikan tinggi selaras dengan hasrat melahirkan pelatih berkualiti tinggi.

Beliau berkata, langkah penambahbaikan ini sudah dibincang dan diberi pertimbangan mendalam sejak Mei tahun lalu malah, ia sudah melalui siri perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh.

“Kementerian juga sudah mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan pelajar serta pihak industri mengenai program yang ditawarkan di KV.

“Majoriti pemegang taruh menyambut baik hasrat KPM untuk membawa penambahbaikan yang relevan demi kepentingan pelajar dan negara,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, langkah penambahbaikan ini diambil selari dengan syor dan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Amin berkata, tanggapan atau dakwaan sesetengah pihak bahawa program-program tertentu sudah ditutup atau dihentikan adalah tidak tepat sama sekali sebaliknya program berkenaan ditangguh untuk sementara waktu bagi tujuan semakan semula kurikulum demi memenuhi keperluan akreditasi MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Ia bagi memastikan program yang ditawarkan adalah program yang bermutu dan berkualiti serta dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi bagi memenuhi permintaan industri.

“Adalah menjadi hasrat kementerian untuk memastikan persijilan dan piawaian industri dipatuhi dan dijadikan rujukan utama dari aspek kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan kurikulum,” katanya.

Kementerian Pendidikan melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional pada 2012, dengan menyediakan program peringkat Diploma, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam bidang kemahiran dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri negara.

Sistem Pendidikan Vokasional yang disediakan adalah berkualiti menerusi penyelarasan dasar pengoperasian, pembangunan prasarana fizikal dan penyediaan fasiliti; program pengurusan akademik yang terancang dan efektif untuk kemenjadian murid; pengurusan sumber manusia, kewangan, pentadbiran dan hal ehwal murid yang berkesan, dan pembangunan profesionalisme berterusan yang terancang untuk guru dan pegawai.

Kementerian menetapkan sasaran menyediakan 70 peratus pelajar sebagai tenaga mahir untuk bekerja di industri manakala, 20 peratus lagi menyambung pengajian dan baki 10 peratus untuk menjadi usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 6:22 PM