GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Hiasan
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tanggungjawab meningkatkan kebolehpasaran graduan tidak boleh diletakkan 100 peratus kepada institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat dengan banyak pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kebolehpasaran graduan memerlukan kerjasama tiga atau empat penjuru seperti agensi kerajaan, pihak industri, IPT dan pihak lain yang berkaitan.

Katanya, sudah menjadi hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan, namun usaha itu sukar dicapai sekiranya tidak mendapat kerjasama pihak yang berkenaan.

"Peluang pekerjaan bukanlah bergantung pada kualiti IPT atau program yang ditawarkan oleh universiti dalam negara kerana umum sedia maklum, program ditawarkan sudah melepasi standard ditetapkan.

"Kajian pasaran bersama industri juga sudah dilakukan sebelum sesebuah program ditawarkan, namun keadaan ekonomi tidak menentu, ketenteraman negara berada pada tahap tidak stabil serta diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang amat memberi kesan kepada kebolehpasaran graduan.

"Sekiranya semua dalam keadaan baik, kita yakin kebolehpasaran graduan mampu meningkat ke satu tahap yang lebih membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai lambakan graduan menganggur yang meningkat pada 2020 sebanyak 202,400 (4.4 peratus) berbanding 165,200 (3.9 peratus) bagi tahun 2019.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, KPT dan IPT tempatan sentiasa bekerja keras dalam melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Jadi, katanya, menuding jari pada dua pihak itu sahaja tidak begitu tepat kerana sektor lain juga perlu menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan IPT tempatan dan sama-sama melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

"Dalam era serba mencabar ini, graduan pula perlu merebut sebanyak mungkin peluang untuk mendapatkan pekerjaan, misalnya dengan mendaftarkan diri dengan pelbagai agensi pekerjaan di dalam dan luar negara.

"Kerajaan juga sudah menyediakan platform menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Program KPT (KPT-CAP) iaitu satu usaha julung kali diadakan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 12:24 PM