JURURAWAT di Hospital Segamat dan anak lelakinya yang berusia lapan bulan maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Utama Selancar berhampiran FELDA Selancar 6, Muadzam Shah. FOTO Ihsan Bomba
JURURAWAT di Hospital Segamat dan anak lelakinya yang berusia lapan bulan maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Utama Selancar berhampiran FELDA Selancar 6, Muadzam Shah. FOTO Ihsan Bomba
Amin Ridzuan Ishak


JURURAWAT di Hospital Segamat dan bayi lelakinya, maut selepas Perodua Alza dipandunya bertembung dengan lori di Jalan Utama Selancar berhampiran FELDA Selancar 6, Muadzam Shah, dekat Rompin, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa Rahimah Jaffar, 34, dan anaknya, Muhammad Zamil Abdul Aris, 8 bulan, dari FELDA Selancar 1, Bandar 19, dekat Rompin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Pewira Jaya, manakala seorang lagi anaknya, Firas, 5, dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu Rahimah yang dalam perjalanan dari simpang Selancar ke Perwira Jaya hilang kawalan dipercayai mengelak lubang dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

"Pemandu dan anaknya yang berusia lapan bulan yang duduk di bahagian penumpang hadapan dibawa ke Klinik Kesihatan Pewira Jaya dan disahkan meninggal dunia 10.20 pagi.

"Seorang lagi anaknya yang duduk di bahagian penumpang belakang dibawa ke Hospital Segamat dan sedang menerima rawatan lanjut manakala pemandu lori dirawat di Hospital Muadzam Shah kerana patah kaki," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat.

Azli berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:15 PM