Kerja mencari dan membawa keluar mayat pekerja kontrak yang tertimbus tanah. FOTO ihsan bomba
Kerja mencari dan membawa keluar mayat pekerja kontrak yang tertimbus tanah. FOTO ihsan bomba
Shahrul Nizam Mohamad


PEKERJA kontrak maut akibat tertimbus ketika melakukan kerja mengorek longkang di kawasan pembinaan di kilang sawit Felda Keratong 2, Muadzam Shah, Rompin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nordan Wahid, 39, maut di tempat kejadian selepas tertimbus tanah ketika melakukan kerja mengorek longkang sedalam 4.3 meter.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, kejadian disedari beberapa rakan mangsa yang terdengar jeritan meminta tolong sebelum mereka memaklumkan kepada pegawai bertugas.

“Pihak berkuasa tiba pada 3.45 petang bagi melakukan kerja mencari dan menyelamatkan mangsa.

“Kawasan timbunan tanah itu dikorek semula menggunakan jengkaut dan mengambil masa lebih lima jam sebelum mayat ditemui pada 9.27 malam,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia akibat lemas ketika ditimbus runtuhan tanah.

Azly berkata, seramai 37 pegawai dan anggota membabitkan Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah terbabit dalam operasi mencari dan membawa keluar mayat.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 12:32 PM