Khairulmizan Yahya

Rompin: Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya satu kajian dilakukan untuk membaik pulih semula Jalan Felda Selancar-Pewira Jaya, dekat Muadzam Shah, yang runtuh dan terputus akibat kejadian banjir baru-baru ini.

Baginda sebelum itu menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana dapat melaksanakan pembinaan jambatan Bailey di laluan berkenaan.

"Saya harap semua pihak dapat menggunakan sebaik mungkin jambatan berkenaan dan mudah-mudahan kemudahan itu sedikit sebanyak memberi keselesaan buat sementara ini.

"Dalam pada itu, saya berharap satu kajian dapat dibuat dan selepas keadaan mengizinkan, jalan terbabit perlu dibina semula seperti sedia kala," titah baginda ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong di sini, hari ini.

Baginda bertitah, jambatan Bailey akan menyekat kelancaran perjalanan kenderaan yang melalui jalan itu.

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, bertitah ketika melawat PPS di SK Leban Chondong.FOTO Farizul Hafiz Awang
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, bertitah ketika melawat PPS di SK Leban Chondong.FOTO Farizul Hafiz Awang

Dalam kejadian pada 1 Mac lalu, kira-kira 5,000 penduduk di Felda Selancar dan Pewira Jaya terputus hubungan selepas jalan masuk ke kawasan berkenaan runtuh dan terputus akibat air deras.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah meluluskan peruntukan segera bagi membina jambatan Bailey di jalan terbabit yang kini siap dibina dan mula dibuka untuk laluan semua kenderaan bermula semalam.

Sementara itu, Sultan Abdullah turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian kehilangan nyawa akibat banjir dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan dugaan itu.

"Saya doakan mangsa dapat ditemui segera selain berharap operasi mencari mangsa dapat diteruskan," titah baginda merujuk kejadian seorang wanita yang hilang selepas terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini, 3 Mac lalu.

Baginda selepas itu turut melawat tiga lagi PPS iaitu SK Tanjung Gemuk, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemuk dan PPS Sarang Tiong, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 2:22 PM