KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam  kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Shahrul Nizam Mohamad


DUA beranak maut manakala tiga lagi parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dirempuh lori tangki minyak di Kilometer 102.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, semalam.

Dalam kejadian 5.05 petang itu, pemandu MPV, Jamaludin Basri, 56, yang berasal dari Simpang Renggam, Johor dan anaknya, Hanis Syahirah, 19, maut di tempat kejadian.

Isteri Jamaludin, Rozita Manan, 50, serta dua lagi anak mereka iaitu Hanis Humaira, 12, dan Hanis Nazira, 17, parah dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS).

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, siasatan mendapati, lori tangki minyak yang dipandu Mohd Fadzil Mohd Jailan, 46, dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Segamat dan cuba mengelak kereta lain yang memasuki simpang ke stesen minyak secara mengejut.

"Mohd Fadzil kemudian hilang kawalan lalu terbabas masuk laluan bertentangan melanggar kenderaan dipandu Jamaludin serta sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Exora yang dinaiki lima sekeluarga.

"Bagaimanapun pemandu serta penumpang Proton Exora itu hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di Muadzam Shah, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dan dihantar ke HMS untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, siasatan turut menemui kesan brek kenderaan berat dipandu Mohd Fadzil sepanjang lapan meter ketika cuba mengelak kenderaan yang masuk ke simpang stesen minyak secara mengejut itu.

Katanya, ketika kejadian permukaan jalan lurus dan rata manakala cuaca baik.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke HMS untuk bedah siasat dijalankan sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:41 AM