DR Mahathir   ketika  menghadiri taklimat tertutup kemajuan projek Persekutuan di Sarawak, semalam.
DR Mahathir ketika menghadiri taklimat tertutup kemajuan projek Persekutuan di Sarawak, semalam.
Kandau Sidi & Erika George

Bintulu: Sarawak tidak akan dipinggirkan walaupun wujud perbezaan ideologi politik yang ketara.

Itu jaminan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang memaklumkan Sarawak wajar mendapat kemajuan setaraf negeri lain.

Beliau berkata, projek pembangunan akan tetap disalurkan kepada negeri Sarawak.

“Sudah tentu kami lebih suka dengan sebuah kerajaan yang mesra, daripada parti yang sama dengan Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan).

“Tetapi sama ada ia kerajaan yang berbeza atau sama, projek Persekutuan di Sarawak akan diteruskan,” katanya selepas menghadiri taklimat tertutup kemajuan projek Persekutuan di Sarawak di sini, semalam.

Mengenai tawaran RM1 bilion oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina semula sekolah yang uzur di negeri ini, beliau berkata, ia adalah satu pinjaman.

“Saya rasa mereka (kerajaan negeri Sarawak) mahu pinjamkannya kepada kita. Tetapi kerajaan negeri juga berhutang wang dengan kita.

“Kita lebih setuju sekiranya mereka bayar saja wang yang mereka hutang dengan kita. Mereka mempunyai banyak wang dan belanjawan Sarawak adalah yang terbesar di Malaysia, RM11 bilion (tahun hadapan),” katanya.

Dr Mahathir juga berharap kerajaan negeri Sarawak tidak begitu mendesak berhubung tuntutan royalti minyak.

Sarawak menuntut royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada 20 peratus sebagai sebahagian daripada hak istimewa negeri seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengenai pembinaan semula kerja menaik taraf 116 sekolah yang uzur di seluruh negeri ini membabitkan peruntukan RM443.5 juta tahun ini, beliau berkata, ia mengambil masa agak panjang untuk mendapatkan bahan pembinaan.

Ketika ini, 77 sekolah seumpama itu siap dan 39 lagi dalam pelbagai fasa pelaksanaan yang menggunakan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS).

“Saya berharap isu sekolah daif ditangani kerajaan negeri, lihat saja belanjawan RM11 bilion yang diumumkan baru-baru ini, ia wajar digunakan dengan baik.

“Kerajaan negeri Sarawak punya duit yang cukup banyak. Jadi, atasi masalah sekolah daif dengan menggunakan bajet sedia ada,” katanya.

Terdahulu, ketika sesi taklimat oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man, Perdana Menteri juga dimaklumkan bahawa 597 projek fizikal bernilai RM14 bilion diperuntukkan kepada Sarawak di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Dr Mahathir yang tiba di bandar minyak dan gas ini, petang semalam untuk melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, kemudian berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Bintulu.

Beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 10:30 AM