Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Janji Perikatan Nasional (PN) untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan jika berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November depan disifatkan hanya 'gula-gula' parti itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sepanjang mentadbir negara selama 18 bulan, gagal membayar royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan PH di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang mentadbir negara selama 22 bulan, selepas memenangi PRU-14 membayar royaliti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) kepada kerajaan Terengganu sebanyak RM1.277 bilion pada tahun 1999.

"Kerajaan PH juga membayar wang royalti minyak kepada Kelantan sebanyak RM15.7 juta, walaupun kerajaan negeri itu mendakwa royalti petroleum itu adalah wang ihsan.

"Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri tidak meneruskan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu, tetapi tiada pun seorang menteri daripada Pas merungut serta membuat tuntutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam, dilaporkan berkata,

PN berjanji untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 10:20 AM