Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Gaya bersahaja seorang tok dalang wayang kulit dengan loghat Kelantan yang langsung tidak kekok pastinya membuatkan penonton tidak percaya bahawa dia berbangsa Tionghua.

Namun, posisi berkenaan dimainkan dengan baik oleh Kang Boon Ann, 53, yang menjadi satu-satunya tok dalang berbangsa Tionghua yang sangat dikenali dalam kalangan penggiat seni tradisional itu di seluruh negara.

Bukan sahaja berbakat sebagai watak utama di sebalik kelir (kain putih), malah bapa kepada dua anak itu turut menghasilkan sendiri patung wayang kulit menggunakan bahan asas utama iaitu kulit lembu.

KANG Boon Ann menunjukkan antara koleksi patung wayang kulit yang dihasilkanya ketika ditemui di premis Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu di Kok Lanas. FOTO Syaherah Mustafa
KANG Boon Ann menunjukkan antara koleksi patung wayang kulit yang dihasilkanya ketika ditemui di premis Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu di Kok Lanas. FOTO Syaherah Mustafa

"Minat yang mendalam kepada wayang kulit selain pendedahan dengan budaya Melayu sejak kecil menjadi sebab utama pembabitan saya secara serius dalam seni tradisional ini.

"Ketika di bangku sekolah, nenek sering membawa saya menyaksikan persembahan wayang kulit selepas musim menuai," katanya ditemui di premis Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu di Kok Lanas di sini, semalam.

Menurut Kang, dia turut mendapat sokongan keluarga malah isteri, Eh Tian a/p Eh Awang, 47, serta dua anak, Kang Xiau Ren, 24, dan Kang Siew Lie, 27, turut terbabit dalam persembahan sebagai pemain muzik bagi menjayakan sesuatu persembahan.

Begitu juga dengan bapa mentuanya, Eh Awang a/l Eh Wit, 70, yang terbabit sama.

"Anak-anak saya juga menyambung pengajian dalam bidang kesenian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), masing-masing dalam Fakulti Pengurusan Seni dan Fakulti Penulisan Kreatif," katanya.

Kang berkata, anak-anaknya, melalui Aswara, turut mengetengahkan seni tradisional wayang kulit di peringkat antarabangsa seperti di Thailand, India dan Jepun melalui pembabitan mereka bersama rakan-rakan Melayu yang lain.

Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, mereka sekeluarga menerima tempahan persembahan dari seluruh negara seperti di Johor, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

Namun kini, katanya, mereka lebih banyak menghabiskan masa menghasilkan patung wayang kulit sahaja.

"Sejak kecil, saya kerap mencipta patung menggunakan kertas buku sekolah dan apabila dewasa, saya mempelajari cara pembuatan pelbagai jenis watak melalui arwah guru yang dikenali sebagai Dollah Baju Merah yang juga penggiat wayang kulit tersohor di Kelantan.

"Nak hasilkan patung ini memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi susulan bentuknya yang agak rumit membabitkan watak seperti Seri Rama, Sita Dewi, Laksamana, Hanuman Kera Putih, Wak Gogo, Samad dan Said.

"Selain menghasilkan patung untuk kegunaan persembahan sendiri melalui Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu, saya juga menjualnya kepada pelanggan pada harga RM150 sehingga RM500, bergantung kepada wataknya," katanya yang sudah berkecimpung dalam kesenian wayang kulit sejak 2008.

Jelasnya, hasil tunjuk ajar gurunya, ia membolehkan dia memainkan watak tok dalang dengan lebih baik menggunakan suara yang berbeza-beza mewakili setiap karakter yang ada.

"Setiap kali membuat persembahan, saya mengekalkan setiap seni yang ada pada wayang kulit tanpa mengubahnya manakala jalan penceritaan pula bergantung kepada situasi majlis.

"Persembahan dilakukan secara spontan namun terdapat juga persiapan awal jika ia membabitkan penceritaan yang agak serius.

"Ada sahaja pelanggan yang mahu saya membuat persembahan menggunakan bahasa lain namun, kami menolak dengan baik kerana pertukaran kepada bahasa lain tidak sesuai bagi wayang kulit selain menghormati budaya Melayu," katanya.

Kang turut berkongsi pengalaman bertanding pada Festival Asean 2014 yang mana pihaknya dinobatkan johan untuk kategori patung wayang kulit tercantik mengalahkan tujuh negara Asean yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 1:39 PM