Mohd Roji Kawi


KEHADIRAN anak buaya menggemparkan penduduk Taman Nanas 2 di Jalan Matang, di Petrajaya, malam tadi.

Buaya berukuran kira-kira 1.5 meter panjang itu dipercayai datang dari sungai berhampiran dan naik ke darat untuk mencari makanan.

Bagaimanapun, reptilia itu tersesat dan merayau di kawasan perumahan itu menyebabkan penduduk menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan menangkapnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk taman perumahan itu pada 11.19 malam.

Berikutan itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikerah ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan pihaknya menemui seekor buaya sedang berlegar di lorong kawasan perumahan itu.

"Anggota kemudiannya berjaya menangkap buaya itu dan membawanya balik ke balai," katanya.

Katanya lagi, buaya berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 8:57 AM
ANGGOTA bomba menangkap buaya yang ditemui merayau-rayau di Taman Nanas 2, Jalan Matang, Petra Jaya, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menangkap buaya yang ditemui merayau-rayau di Taman Nanas 2, Jalan Matang, Petra Jaya, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba