MAS Ermieyati. FOTO Arkib NSTP
MAS Ermieyati. FOTO Arkib NSTP
Nurul Fhatihah Zakinan

AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas tanpa menyertai mana-mana parti politik.

Beliau juga tidak berhasrat untuk mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Setakat ini, saya (Ahli Parlimen) Bebas dan tidak ada hasrat atau membuat keputusan untuk sertai mana-mana parti.

“Itu (Mustapa sertai BERSATU) tidak menghalang untuk saya (Bebas) terus berkhidmat di kawasan saya (Masjid Tanah) seperti biasa,” katanya, ketika dihubungi NSTP di Melaka, hari ini.

Sabtu lalu, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyerahkan borang keahlian untuk menyertai BERSATU pada majlis dihadiri Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum itu, pada 18 September lalu, Mustapa mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Keputusan itu katanya, susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 3:33 PM