Mohd Azam Shah Yaacob

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan memulakan operasi besar-besaran bagi memburu 39,743 ‘keldai akaun’ yang membenarkan akaun bank mereka digunakan pihak tertentu bagi tujuan penipuan.

Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, jumlah akaun itu diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan sejak 2015 dan membabitkan pengaliran wang lebih RM800 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,729 akaun terbabit dalam penipuan kerana menawarkan pinjaman tidak wujud, Macau Scam dan African Scam.

“Ramai pemegang akaun itu adalah wanita dan JSJK akan menjalankan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi menahan mereka," katanya.

Amar Singh berkata, ada antara akaun itu dikenal pasti digunakan lebih 10 kali dalam kes penipuan.

Katanya, jumlah keldai akaun itu juga semakin bertambah setiap tahun.

“Pada tahun 2015, jumlah akaun terbabit sindiket penipuan adalah sebanyak 5,411 akaun.

“Jumlah itu meningkat kepada 11,265 akaun sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini," katanya.

Menurut Amar Singh, pemilik akaun atau keldai akaun itu boleh disiasat mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

“Nasihat saya agar orang ramai tidak memberikan akaun perbankan mereka untuk diguna pihak tertentu kerana boleh dianggap bersubahat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 3:41 PM