Asrol Awang


Kuantan: Sejumlah RM2.6 juta jumlah kerugian membabitkan jenayah komersil di seluruh negeri ini direkodkan sepanjang Januari lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu membabitkan 119 kes termasuk 83 peratus daripadanya adalah penipuan secara dalam talian.

"Saya kecewa kerana masih ramai yang menjadi mangsa penipuan yang menyebabkan kerugian sehingga RM2.6 juta.

"Contoh, kes membabitkan seorang guru wanita kerugian RM233,480 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

"Dalam kes ini, ia membabitkan kegusaran dan ketakutan tetapi jangan mudah percaya apabila menerima panggilan kononnya individu berjawatan dalam polis serta agensi kerajaan lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Ramli berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin.

"Sebenarnya, pelbagai langkah dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan," katanya lagi.

Pada masa sama, Ramli turut mengingatkan mana-mana individu supaya tidak membuka akaun bank untuk anggota sindiket penipuan.

Katanya, dengan ganjaran kewangan RM400 hingga RM500 yang diterima kerana membenarkan penggunaan akaun bank masing-masing, keldai akaun berkaitan berdepan risiko gelap masa depan jika tertangkap sebelum disabitkan dengan kesalahan.

"Apabila terbabit dalam kes jenayah, individu ini atau keldai akaun perlu menyedari bahawa apa yang dilakukan tidak berbaloi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 1:10 PM