Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Warga emas yang juga bekas pensyarah berusia 61 tahun kerugian RM1.43 juta akibat ditipu sindiket yang menyamar sebagai 'pegawai' Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) baru-baru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata, pihaknya setakat ini menerima 18 laporan berhubung taktik penipuan itu sejak Januari sehingga 11 Februari.

"Mangsa akan menerima panggilan dari individu mendakwa pegawai NSRC dan 'pegawai' terbabit memaklumkan pihak NSRC membatalkan nombor telefon mangsa ekoran ada aduan nombor berkenaan menghantar pautan haram dan mesej penipuan.

"Panggilan kemudiannya dipindahkan kepada invidiu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan diberikan.

"Mangsa akhirnya diarahkan membuat pindahan wang ke satu akaun bank ditetapkan," katanya tadi.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kerugian dicatatkan membabitkan RM 1.49 juta. Kes mangsa warga emas berusia 61 tahun itu adalah nilai kerugian tertinggi dilaporkan setakat ini.

Ramli berkata, NSRC hanya berfungsi sebagai pusat sehenti berkaitan penipuan yang hanya akan menerima panggilan daripada orang ramai.

"NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Ia berbentuk (komunikasi) satu hala sehaja, justeru sebarang panggilan yang mengaku dari NSRC adalah satu penipuan.

"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa mangsa terlibat untuk segera hubungi NSRC di talian 997.

"Sebaiknya panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar mempunyai peluang lebih tinggi untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:22 PM