Safeek Affendy Razali


SEBUAH pusat hiburan terkemuka di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur diserbu buat kali kedua dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi penguat kuasaan lain pada awal pagi Jumaat serta Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya menahan 31 lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 16 hingga 54 tahun termasuk dua lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dalam serbuan pada 2.30 pagi Jumaat.

“Kita turut merampas 181 botol air minuman, 408 paket cecair dan serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dan ketamin serta 60 batang rokok mengandungi ganja ‘mushroom’, kesemuanya dianggarkan berjumlah RM230,000.

“Kesemua dadah yang dirampas itu sekiranya berada di pasaran mampu merosakkan lebih 2,500 individu,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Menurutnya, seramai 32 individu yang ditahan didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, mereka direman selama dua hari, manakala dua ahli sindiket pengedaran dadah direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

“Polis turut menahan tujuh lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Semua rampasan dadah diperoleh selepas memeriksa satu bilik stor khas dan sebuah kenderaan di tempat letak kereta yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan pengedaran,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan premis sama sudah lima kali digempur sepanjang tahun ini iaitu pada 25 Januari, 26 Mei, 14 September, 28 September dan 29 September lalu (Ops Bah).

Sementara itu, pada keesokkannya seramai 16 pengunjung pusat hiburan sama ditahan dalam operasi ‘Banteras Aktiviti Haram’ (Ops BAH) oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang disertai pelbagai agensi penguat kuasaan selepas didapati positif dadah.

Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan berkenaan didapati tidak berlesen dan tindakan menyita barang-barang hiburan dijalankan.

Premis sama diarahkan ditutup mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:40 PM
MOHMAD (tiga kanan) bersama Mazlan (empat kanan) menunjukkan antara rampasan dadah pada sidang media, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
MOHMAD (tiga kanan) bersama Mazlan (empat kanan) menunjukkan antara rampasan dadah pada sidang media, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq