Ayob Khan mengadakan sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Ayob Khan mengadakan sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Undang-undang sedia ada bagi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah dilihat kurang berkesan untuk mengheret sindiket terbabit terutama dalang utama ke mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini kerana sukar untuk menangkap dan membuktikan pembabitan ketua sindiket dalam aktiviti itu.

Beliau berkata, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tangkapan dan rampasan yang berterusan sejak Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dikuatkuasakan namun aktiviti pengedaran dadah masih berleluasa.

"Mereka yang kita tangkap adalah penagih dan pengedar dadah di bawah tapi ketua sindiket memang sukar untuk kita tangkap dan ambil tindakan.

"Sedia maklum bagi kes mengikut Seksyen 39B ADB, pembuktian dari segi pemilikannya begitu tinggi, kawalan dan penjagaan (dadah) ini sukar dibuktikan di mahkamah kerana mereka ini tidak terbabit secara langsung dalam penyeludupan dan pemilikan dadah.

"Jadi untuk kita buktikan peranan ketua sindiket ini dalam pengedaran memang sukar," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah terbesar di Sabah dengan penahanan 10 individu termasuk dalang utama bergelar datuk yang menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semalam.

Serbuan jam 2.30 pagi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.

Hasil siasatan dijalankan, ahli sindiket turut terbabit dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk memiliki rangkaian restoran dan syarikat besar yang menjadi sumber kewangan kepada kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, modus operandi sindiket yang sentiasa berubah turut menyukarkan PDRM membanteras aktiviti haram berkenaan.

Malah, kata beliau, kebanyakan sindiket turut terbabit aktiviti pengubahan wang haram, membuka syarikat besar, menjalankan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembelian aset hasil daripada penyeludupan dan pengedaran dadah.

"Ini menunjukkan mereka ada kekuatan kewangan. Susulan itulah PDRM menerusi JSJN mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu sindiket dadah.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Sebelum ini pun kita ada guna Sosma ke atas aktiviti gengster berkaitan dadah tapi untuk sindiket dadah sahaja, ini kali pertama guna Sosma bertujuan membanteras dan menangkap ketua sindiket," katanya.

Beliau berharap pendekatan itu dapat mengambil tindakan terhadap hub dadah secara keseluruhan termasuk ketua sindiket, ahli, pengedar, tempat penyimpanan dan sebagainya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:59 PM