Azmi. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Azmi. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 599 pusat hiburan diserbu Polis Kuala Lumpur sejak 2019 sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 295 operasi dijalankan pada 2019, 187 (2020), 51 (2021) dan 55 serbuan pada Januari tahun ini sehingga semalam.

Menurutnya, bagi tempoh tiga tahun itu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan 2,148 orang dan merampas pelbagai jenis dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seramai 1,268 orang ditahan pada 2019 manakala 527 (2020), 190 (2021) dan 160 pada Januari tahun ini sehingga semalam.

"Sepanjang tempoh sama, lebih daripada 15 pusat hiburan yang dipercayai menjalankan aktiviti dadah sudah ditutup," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, tindakan diambil Polis Kuala Lumpur membuktikan pihaknya serius dalam menangani kegiatan tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah.

"Malah kita juga terbuka menerima sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan sebanyak 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara.

Beliau dipetik berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.

Beliau mendakwa tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan seperti itu yang didapati semakin bermaharajalela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 5:29 PM