Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bungkus dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian sebelum menggunakan syarikat penghantaran logistik untuk mengedar dadah.

Itu modus operandi sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang aktif sejak awal tahun ini sebelum kegiatan mereka terbongkar hasil serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), 13 Julai lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, JSJN melakukan empat serbuan bermula 1.40 pagi hingga 12.30 tengah hari di Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.

Menurutnya, tiga lelaki berusia 32 hingga 61 tahun dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah pasaran tempatan ditahan manakala dadah bernilai RM14.4 juta dirampas polis.

"Dadah yang dirampas itu terdiri daripada methamphetamin seberat 56 kilogram (kg), ketamin 20 kg dan ekstasi 154.3 kg.

"Sindiket ini aktif sejak awal tahun ini di mana bekalan dadah yang dirampas itu masih dalam siasatan namun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan jalan darat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK), di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, modus operandi sindiket dengan menjadikan kediaman dan rumah kedai sebagai tempat menyimpan dadah sebelum dipasarkan.

MOHD Kamarudin (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Genes Gulitah
MOHD Kamarudin (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Genes Gulitah

"JSJN turut menyita aset sindiket bernilai RM389,166 terdiri empat kenderaan iaitu BMW, Lexus, Perodua Bezza dan Toyota Vios bersama barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM14.77 juta.

"Siasatan juga mendapati sindiket memasukkan dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian lima kg bagi mengaburi mata kurier sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berjkata, saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah dan semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek termasuk koordinator, pembekal dan penjaga stor direman seminggu bermula 14 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988.

"Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan," katanya.

Katanya, pihaknya juga sedang mengesan saki-baki sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Masyarakat yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:54 PM