Kuala Lumpur: Seramai 41 penagih dadah tegar ditahan polis menerusi Operasi Sarang (Ops Sarang) yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Ketua JSJN IPK KL Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, sebahagian 20 individu diberkas pihaknya dikesan positif menagih pelbagai jenis dadah.

Menurutnya, operasi dijalankan di sekitar Taman Sri Sentosa, Brickfields, di sini berdasarkan intipan dilakukan pihaknya.

“Penagih yang ditahan berusia 19 hingga 60-an. Tujuan operasi ini diadakan bagi membanteras aktivti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘sarang’ penagihan selain meredakan kebimbangan orang awam,” katanya.

Ops Sarang yang bermula jam 3 petang dan berakhir jam 6 petang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Semasa operasi dijalankan, penagih dadah cuba melarikan diri menggunakan motosikal sebelum berjaya dikejar pegawai dan anggota polis.

Wan Abdullah berkata, operasi seperti itu akan diperluaskan di kawasan lain sekitar ibu kota bagi memastikan aktiviti penagihan dadah berjaya dibendung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 5:17 AM