ANTARA rakit berhias yang menyertai Majlis Perasmian Pesta Rakit sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia di Jeti Sungai Kampung Mahandoi, Penampang.
ANTARA rakit berhias yang menyertai Majlis Perasmian Pesta Rakit sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia di Jeti Sungai Kampung Mahandoi, Penampang.
Avila Geraldine

Penampang: Mempromosi aktiviti sungai untuk pelancongan dan rekreasi di daerah ini berupaya membantu melindungi Sungai Moyog, sekali gus menjana sumber pendapatan kepada penduduk di situ.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Jenifer Lasimbang berkata, sungai di daerah itu mempunyai potensi tinggi untuk dipromosikan dan penduduk setempat perlu berfikir di luar kotak untuk memanfaatkan potensinya bagi tujuan ekopelancongan.

Pada masa lalu, katanya, penduduk menggunakan sungai sebagai perhubungan dan rakit adalah pengangkutan penting.

“Penduduk yang tinggal di sepanjang sungai memiliki banyak sejarah. Contohnya Inobong yang mana menjadi tempat penting pertemuan penduduk dari laut dan bukit untuk melakukan perniagaan tukar barang.

“Jika penduduk boleh berfikir untuk sediakan maklumat mengenai sungai atau fakta pada setiap jeti di kampung, saya percaya pelancong dan pengunjung lebih berminat merasai pengalaman menyusuri sungai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Rakit di Kampung Mahandoi, di sini, semalam.

JENIFER (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Pesta Rakit sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia di Jeti Sungai Kampung Mahandoi, Penampang.
JENIFER (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Pesta Rakit sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia di Jeti Sungai Kampung Mahandoi, Penampang.

Program tahunan itu diadakan sempena Hari Sungai Sedunia.

Jenifer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyong berkata, aktiviti sungai seterusnya berupaya membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai kepentingan melindungi sungai daripada sampah dan pencemaran.

“Jika tiada aktiviti sebegini, sungai ini secara perlahan-lahan berubah menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya menegaskan berharap Persatuan Pelancong Penampang bekerjasama dengan penduduk setempat dalam usaha mempromosikan sungai dan menjana pendapatan.

Jenifer berkata, beliau juga terpesona selepas melihat beberapa individu mengayuh basikal rakit ketika berakit selama 30 minit dari Kampung Kaui ke Kampung Mahadoi.

Katanya, inovasi berkenaan harus diterima pakai penduduk dan beliau juga akan mengadakan kempen untuk menggalakkan penduduk mengitar semula basikal lama mereka.

“Basikal rakit ini boleh digunakan penduduk untuk melakukan pembersihan sungai,” katanya.

BASIKAL rakit.
BASIKAL rakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 11:52 AM