MASIH ada pejalan kaki yang sanggup mengambil risiko melintas jalan tanpa menggunakan jejantas yang telah disediakan di Jalan Tun Ismail. FOTO Asrol Awang
MASIH ada pejalan kaki yang sanggup mengambil risiko melintas jalan tanpa menggunakan jejantas yang telah disediakan di Jalan Tun Ismail. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


SIKAP segelintir pejalan kaki yang enggan menggunakan kemudahan jejantas di Jalan Tun Ismail, Kuantan amat dikesali kerana ia boleh mengundang bahaya termasuk kehilangan nyawa.

Perbuatan itu bukan saja membahayakan keselamatan diri mereka, malah pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal jika terbabit kemalangan.

Tinjauan NSTP di jalan utama pusat bandar ini mendapati, masih ada pejalan kaki memilih untuk melintas berbanding menggunakan jejantas sedia ada yang lebih selamat.

Ini kerana keadaan jalan empat lorong itu sentiasa sibuk pada waktu pagi hingga petang setiap hari dengan kenderaan bergerak laju dan boleh mengundang risiko kemalangan.

Kakitangan kerajaan, Sulaiman Mohamad, 45, berkata, dia yang sering menunggang motosikal ke tempat kerja nyaris terlanggar lelaki yang tiba-tiba melintas jalan dalam keadaan tergesa-gesa, baru-baru ini.

"Walaupun pejalan kaki itu tidak mengalami kecederaan, tindakan itu boleh menyebabkan pemilik kenderaan terutama penunggang motosikal boleh terbabit dalam kemalangan.

"Sepatutnya, kemudahan yang disediakan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya kerana faktor keselamatan perlu diutamakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pengguna, termasuk ibu bapa yang bersama anak-anak mengambil berat keselamatan diri dan menggunakan kemudahan jejantas berkenaan untuk menyeberang jalan.

Sulaiman juga berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu juga antara menjadi punca kemalangan kerana Jalan Tun Ismail adalah laluan utama pengguna jalan raya untuk berurusan di pusat bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:50 PM