SEORANG wanita memimpin tangan anak  untuk melintas jalan  tanpa menggunakan  jejantas.
SEORANG wanita memimpin tangan anak untuk melintas jalan tanpa menggunakan jejantas.
Siti A'isyah Sukaimi


Dengkil: Tak sayang nyawa! Itu sikap segelintir pengguna lalu lintas termasuk murid dan pelajar yang enggan menggunakan kemudahan jejantas di pekan Dengkil di sini ketika mahu melintas jalan raya, sekali gus boleh mengundang bahaya.

Jejantas itu berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil dan kira-kira 400 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, tetapi ia tidak digunakan sewajarnya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, bukan saja pelajar, ada segelintir ibu bapa memimpin tangan anak masing-masing turut melintas jalan berkenaan tanpa menggunakan jejantas untuk menghantar mereka ke sekolah.

Laluan itu sibuk dengan kenderaan lebih-lebih lagi ada lampu isyarat berdekatan jejantas itu bagi memudahkan pemandu untuk masuk ke taman perumahan serta deretan premis perniagaan di situ.

Bagaimanapun, ada pengguna termasuk pelajar yang mengambil berat keselamatan diri dan menggunakan kemudahan jejantas berkenaan untuk menyeberang jalan.

Peniaga, Junaidah Ramli, 36, berkata, laluan berkenaan sentiasa sibuk terutama pada waktu pagi dan petang lebih-lebih lagi di hadapan SK Dengkil.

“Ada ibu bapa yang berhenti kereta di tepi jalan untuk menghantar anak ke sekolah, tetapi disebabkan terlalu ramai ada daripada mereka memberhentikan kereta di tepi jalan bertentangan serta melintas ke sekolah.

“Boleh jadi mereka mahu menjimatkan masa, ibu bapa terbabit memimpin tangan anak masing-masing dan menghantarnya ke sekolah serta tidak menggunakan jejantas,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Junaidah mengakui, tindakan pengguna lalu lintas berkenaan tidak menggunakan jejantas adalah bahaya serta boleh mengundang kemalangan.

“Memanglah mereka akan menunggu kenderaan itu berhenti disebabkan ada lampu isyarat, namun kita sepatutnya mengambil mengutamakan keselamatan diri,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Sulaiman, 56, berharap pengguna lalu lintas terutama ibu bapa mengambil berat keselamatan anak masing-masing ketika melintas jalan.

“Sikap segelintir pengguna tidak menggunakan jejantas biasa dilihat di sini dan ibu bapa serta pelajar sepatutnya mengambil langkah berwaspada daripada berlaku kejadian tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:25 AM