RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang wanita yang melintas jalan di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah pusat beli belah di sini, cedera selepas dirempuh motosikal, semalam.

Kejadian jam 10 pagi itu dirakam melalui kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sebelum tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal di lorong kanan melanggar pejalan kaki yang melintas antara kenderaan.

"Akibat kemalangan, pejalan kaki mengalami kecederaan di kaki dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut manakala penunggang motosikal tidak cedera.

"Kes diklasifikasikan mengikut Kaedah 45 LN166/59," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Sarifudin berkata, pejalan kaki terbabit juga boleh dikenakan tindakan saman mengikut Peraturan-Peraturan Trafik 1959 Kaedah 45 LN166/59 iaitu peraturan untuk pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas.

"Dalam kes berkenaan, jejantas pejalan kaki sudah disediakan yang terletak kira-kira tujuh meter dari lokasi kemalangan," katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya menggunakan kemudahan jejantas yang disediakan demi keselamatan diri terutama ketika hendak melintas jalan.

Beliau berkata, sebahagian pengguna lalu lintas lebih suka mengambil jalan mudah dengan melintas menggunakan jalan raya walaupun risiko pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas adalah merbahaya dan boleh mengundang kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 1:33 AM