LOKASI di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth yang mana penduduk berharap dapat dibina jejantas dan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) memandangkan kawasan itu dilaporkan kerap berlaku kemalangan. FOTO Nur Izzati Mohamad
LOKASI di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth yang mana penduduk berharap dapat dibina jejantas dan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) memandangkan kawasan itu dilaporkan kerap berlaku kemalangan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tiada niat membelakangkan penduduk, sebaliknya pihak berkuasa berpandangan Jalan Teluk Air Tawar di sini, sudah mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pejalan kaki melintasi kawasan itu dengan selamat.

Lampu isyarat pejalan kaki dan lintasan belang yang disediakan sudah mengambil kira keperluan penduduk selain terdapat jejantas berhampiran persimpangan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, berdasarkan jawapan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), orang awam yang ingin melintas jalan berkenaan boleh menggunakan lintasan pejalan kaki dengan kawalan lampu isyarat.

Disebabkan itu, katanya, tambahan jejantas di kawasan itu dirasakan tidak perlu, memandangkan kemudahan sedia ada mampu menyelesaikan permasalahan yang diadukan.

"Dari sudut isu kenderaan yang tidak berhenti apabila lampu merah, perkara berkenaan boleh diadukan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Ini kerana pengguna yang tidak mematuhi lampu isyarat boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

LAPORAN Harian Metro, 22 Mei. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 22 Mei. FOTO Arkib NSTP

Zairil bagaimanapun tetap menasihati pengguna jalan raya supaya lebih peka ketika memandu di laluan yang sesak selain di kawasan tinggi dengan kepadatan penduduk dan mempunyai sekolah serta pusat perniagaan.

"Ia bagi mengelak perkara yang tidak diingini dan memastikan trafik lancar," katanya yang meminta penduduk membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pemandu kenderaan yang mengingkari undang-undang.

Terdahulu, tinjauan di Jalan Teluk Air Tawar yang juga jalan lama ke Sungai Petani didapati mempunyai sebuah jejantas lama dibina pada jarak 500 meter dari lampu isyarat pejalan kaki.

Namun penduduk tinggal berhampiran laluan itu dilapor meminta supaya jejantas ditambah di kawasan itu dan usaha lain yang boleh menjamin keselamatan mereka ketika menggunakan jalan berkenaan.

Ia berikutan kawasan itu yang padat dengan perumahan, premis perniagaan, sekolah dan rumah ibadat yang membuatkan lampu isyarat dan lintasan pejalan kaki semata-mata tidak mencukupi untuk penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:00 AM