Raja Zarith Sofiah   membantu rakyat yang menghadapi kesusahan.
Raja Zarith Sofiah membantu rakyat yang menghadapi kesusahan.
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menggunakan laman Facebook (FB) rasminya sebagai perantara untuk baginda membantu rakyat yang memerlukan.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam FB The Royal Johor, baginda menggunakan laman sosial itu yang menggunakan nama ‘Raja Zarith Sofiah’ sebagai medium penting bagi membantu dan mendekati rakyat.

“Menerusi laman sosial itu yang wujud sejak 2015, baginda menerima ratusan aduan daripada orang ramai membabitkan pelbagai perkara termasuk bantuan kesihatan dan kemiskinan.

“Tuanku Permaisuri Johor berkenan meluangkan masa membaca aduan diterima termasuk aduan yang dimaklumkan oleh pengurus FB baginda sebelum ia dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri Johor serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bantuan yang disampaikan membabitkan peralatan klinikal, pernafasan dan tilam serta sumbangan peribadi daripada baginda sendiri.

Kenyataan itu turut memaklumkan usaha murni terbabit diteruskan Raja Zarith Sofiah sehingga kini dan baginda berharap masalah peribadi membabitkan pinjaman kewangan, isu perumahan dan keagamaan yang diterima menerusi FB dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, Raja Zarith Sofiah sanggup turun padang untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan.

“Niat baginda ikhlas mahu membantu mereka yang memerlukan, walaupun dengan sedikit bantuan, hatinya berasa puas dan lega,” menurut kenyataan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 1:27 PM