ANUAR dan Dayang serasi berduet.
ANUAR dan Dayang serasi berduet.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


BAGI peminat dua bintang hebat dalam industri seni muzik tanah air, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah, tentunya kemunculan mereka di atas satu pentas sangat dinanti-nantikan.

Terbaharu, Anuar dan Dayang berkongsi pentas pada acara Konsert Amal Ketulusan Hati anjuran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang berlangsung Sabtu lalu.

Apabila sudah lama tidak disatukan di atas satu pentas, kemunculan mereka membuatkan tetamu bersorak kuat dan turut menyanyikan lagu dialunkan penyanyi kesayangan ramai itu.

Dayang tampil menyampaikan tiga lagu solo iaitu Seandainya Masih Ada Cinta, Haram dan Lelaki Teragung.

Dayang kemudian disertai Anuar, kedua-duanya menyampaikan dua lagu duet iaitu Di Pintu Syurga dan Bila Resah.

Anuar kemudian meneruskan konsert dengan persembahan solo menerusi lima lagu iaitu Kau Bunga Cintaku, Cinta Takkan Berakhir, Ketulusan Hati, Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.

Menerusi konsert itu, dana berjumlah RM1.6 juta berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan kira-kira 1,000 dermawan daripada pelbagai organisasi dan badan korporat.

Dana itu akan diuruskan YRZSNJ dan diedarkan kepada pelajar yang memerlukan menerusi program bantuan kewangan Yayasan Zarith Sofiah’s Initiative for Educational Financial Assistance.

Program itu bertujuan menampung keperluan kewangan pelajar Malaysia yang kurang berkemampuan dan mengikuti pengajian di dalam dan luar negara.

RAJA Zarith Sofiah berkenan menghadiri Konsert Amal Ketulusan Hati.
RAJA Zarith Sofiah berkenan menghadiri Konsert Amal Ketulusan Hati.

Sehingga kini, seramai 1,522 pelajar terutama dalam kalangan B40 menerima bantuan kewangan melalui program itu.

Anuar ketika ditemui mengakui gembira dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada acara amal itu.

“RM1.6 juta adalah jumlah besar dan ia hasil kerja keras semua pihak yang terbabit. Saya bangga kerana berpeluang turut serta dalam program amal ini,” katanya.

Kata Anuar, gandingan dengan Dayang sentiasa menyeronokkan malah dia bersedia melakukannya lagi pada masa akan datang.

“Persembahan duet bersama Dayang sentiasa menjadi pengalaman menyeronokkan buat saya sejak dulu. Malam ini, Dayang sekali lagi membuktikan kemampuannya di pentas dengan menampilkan persembahan terbaik,” katanya.

Dayang mengakui teruja apabila melihat kemampuan Anuar menyampaikan lagunya, Di Pintu Syurga.

“Apabila dapat persembahkan lagu Di Pintu Syurga secara duet dengan Anuar, saya rasa sanga teruja. Lagipun, kami sudah lama tak bergabung di atas satu pentas.

“Terima kasih kepada peminat yang hadir termasuk yang datang dari Singapura untuk menonton konsert ini,” katanya.

Selain Anuar dan Dayang, Konsert Amal Ketulusan Hati turut menyaksikan persembahan hebat Band DiRaja yang dianggotai Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta kekanda kepada Tuanku Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tidak hanya itu, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan artis budaya YWJ.

Konsert itu diserikan dengan kehadiran Raja Zarith Sofiah sendiri dan kerabat diraja lain antaranya Raja Puan Muda Perlis, Raja Muda Perak, Raja Puan Besar Perak, Tunku Temenggung Johor, Tunku Panglima Johor, Tunku Putera Johor dan kerabat diraja negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:30 AM