RAJA Zarith Sofiah (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran YKTLJ di Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan Royal Press Office.
RAJA Zarith Sofiah (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran YKTLJ di Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan Royal Press Office.
Junita Mat Rasid


YAYASAN Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), menyalurkan bantuan perubatan kepada 322 pejuang kanser membabitkan peruntukan RM1.16 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Anizam Jamian, berkata sebelum ini sepanjang 2016, walaupun baharu ditubuhkan, yayasan itu memberikan bantuan perubatan kepada 76 pejuang kanser membabitkan peruntukan kewangan RM172,815.71.

“Angka itu melonjak secara drastik apabila sepanjang tahun lalu, seramai 566 pejuang kanser diberikan bantuan perubatan membabitkan peruntukan RM4.42 juta.

“Walaupun usia yayasan ini baru setahun jagung, Alhamdulillah berkat bimbingan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor yang sentiasa prihatin kepada kebajikan pejuang kanser dan kerjasama sangat baik dari Jabatan Kesihatan negeri, yayasan ini dapat menubuhkan kemudahan selesa kepada pejuang kanser,” katanya berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya YKTLJ di Johor Bahru, hari ini.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkenan berangkat pada majlis itu. Turut berangkat isteri Tunku Mahkota Johor iaitu Che Puan Khaleeda Bustamam.

Mohd Anizam berkata, antara kemudahan dibina YKTLJ termasuk Kompleks Onkologi di Hospital Permai, Johor Bahru, selain Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar serta di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Beliau berkata, menerusi inisiatif membangunkan kemudahan seumpama itu, ia dapat memberikan limpahan peluang kepada ramai pejuang kanser bagi mendapatkan perkhidmatan dan rawatan lebih baik.

Selain itu, katanya, yayasan menggerakkan kumpulan sokongan yang menjalankan lawatan ke hospital dan rumah pejuang kanser di seluruh negeri ini.

“Usaha ini bagi memberikan sokongan dan motivasi bukan sahaja kepada peluang kanser, malah kepada ahli keluarga mereka.

“Usaha mendekati masyarakat bagi memberikan kesedaran terhadap kanser digerakkan dengan penganjuran pelbagai program termasuk pameran, ceramah umum, forum perkongsian, dan penerbitan medium cetakan,” katanya.

Beliau berkata, semua usaha memberikan bantuan dan sokongan kepada pejuang kanser itu memerlukan dana besar dan yayasan bukan jabatan kerajaan yang diberikan peruntukan kewangan tahunan, sebaliknya perlu mencari dana dan menjana sumber kewangan sendiri.

“Alhamdulillah berkat sokongan tidak berbelah bahagi kerabat diraja Johor dan dermawan, pelbagai program berjaya dilaksanakan demi mengumpul dana kewangan yayasan ini.

“Program amal seperti Laksamana Run, Laksamana Ride dan Laksamana Trophy menjadi acara pengumpulan dana sentiasa ditunggu-tunggu dermawan di luar sana.

“Bagi tahun ini, Insya-Allah program Laksamana Run akan diserikan dengan penyertaan Tunku Tun Aminah di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 28 Julai ini. Yayasan juga dalam perancangan mengadakan konsert amal pada September ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 6:50 PM