AHLI Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Datuk Ismail Karim (dua dari kiri) bersama barisan artis Datuk Ramli Sarip, Ayai Illusi (kanan) beregambar selepas sidang media sempena Konsert Amal Doa Buat Kekasih di Hotel Amari, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
AHLI Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Datuk Ismail Karim (dua dari kiri) bersama barisan artis Datuk Ramli Sarip, Ayai Illusi (kanan) beregambar selepas sidang media sempena Konsert Amal Doa Buat Kekasih di Hotel Amari, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


LAGU bertajuk Cebisan Cahaya yang mengandungi lirik ciptaan Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim akan didendangkan buat pertama kali di Konsert Amal Doa Buat Kekasih.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Datuk Ismail Karim berkata, lagu berkenaan akan dinyanyikan artis tempatan, Ayai Illusi pada konsert amal berkenaan.

Beliau berkata, konsert itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) pada 1 September ini.

Menurutnya, selain Ayai Ilusi, konsert itu juga akan dijayakan Datuk Ramli Sarip bersama Dayang Nurfaizah.

Katanya, konsert yang dianjurkan dengan kerjasama Rasa Karya Music Sdn Bhd dan MG Network itu bertujuan mengutip dana bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan kos rawatan dan perubatan.

“Hasrat Almarhum Tunku Abdul Jalil bagi membantu pesakit kanser yang berjuang untuk sembuh, diteruskan menerusi penganjuran Konsert Amal Doa Buat Kekasih.

“Hasrat murni artis lagenda dan terkenal tanah air demi membantu YKTLJ mengumpul dana bagi pesakit kanser sangat tidak ternilai,” katanya pada sidang media sempena konsert itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Anizam Jamian; Ramli Sarip dan Ayai.

Ismail berkata, pihaknya mensasarkan mengumpul dana RM3 juta demi membantu pesakit kanser.

Dalam tempoh 2016 hingga Jun lalu, seramai 1,010 pesakit kanser dibantu membabitkan dana RM5.9 juta.

Sementara itu, Ramli Sarip berkata, lagu Cebisan Cahaya ciptaan Ayai adalah istimewa kerana ia mengandungi lirik nukilan Almarhum Tunku Jalil.

Beliau berkata, ia akan dinyanyikan Ayai yang pernah memasang impian bersama Almarhum bagi mencipta lagu khas untuk pesakit kanser sebelum kemangkatan Almarhum.

“Saya pula akan mempersembahkan lagu bertajuk Doa Buat Kekasih sempena pemilihan tajuk konsert amal berkenaan.

“Perjuangan pesakit kanser tidak semestinya berakhir dengan kepahitan, kita seharusnya menggabungkan doa dan usaha bagi penyembuhan.

“Kami mahu menceriakan dan menghiburkan mereka demi meningkatkan semangat perjuangan mereka.

“Konsert ini akan mengetengahkan segmen persembahan solo setiap penyanyi dengan mengangkat lagu hits masing-masing,” katanya.

Selain itu, Mohd Anizam berkata, pihaknya mensasar syarikat korporat dan individu untuk menaja 85 meja makan yang ditawarkan dengan pakej meja platinum bernilai RM100,000, pakej emas RM50,000, pakej perak RM30,000 dan gangsa RM10,000.

Katanya, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga penaung YKTLJ dijangka mencemar duli berangkat ke konsert berkenaan selain sebahagian pesakit kanser juga turut hadir.

Tempahan meja dan tiket Konsert Amal Doa Buat Kekasih 2018 boleh dilakukan dengan menghubungi talian 07- 557 0404 atau melayari tlicf.orq/doabuatkekasih atau laman Facebook rasmi Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation dan Instagram Laksamana Foundation @tljcf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 4:34 PM