Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di Istana Polo Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN RPO
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di Istana Polo Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN RPO
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris bertitah akan terus terbabit secara langsung dalam pengurusan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), walaupun sudah berperanan sebagai Raja Permaisuri Agong.

"Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, adalah menjadi tanggungjawab saya bagi meneruskan hasrat Almarhum untuk membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan," titah baginda dalam hantaran terbaharu di laman sosial Facebook.

Baginda bertitah sedemikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah YKTLJ bagi 2023 di Istana Polo, Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, turut dipersembahkan laporan prestasi serta pencapaian YKTLJ pada 2023 kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Antara aktiviti dan program yang sudah dilaksanakan oleh YKTLJ ialah 'Laksamana Run', Majlis Makan Malam Amal, menaik taraf Pusat Rawatan Harian Onkologi di hospital, lawatan ke rumah dan wad pesakit serta mewujudkan sukarelawan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

YKTLJ yang ditubuhkan pada 2016 sudah membantu lebih 3,718 kes membabitkan peruntukan lebih RM11.3 juta termasuk beberapa kemudahan untuk rawatan pesakit barah di hospital seluruh Johor.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ Datuk Dr Mohd Khairi Yakub dan Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa serta Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ Mohd Ikmal Izam Zaini.

Hadir sama setiausaha syarikat Lilian Low, juruaudit syarikat Huang Shze Jun serta kakitangan YKTLJ.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) Mohd Anizam Jamian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) Hishamudin Abd Rahim.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:43 PM