DUA mangsa termasuk seorang kanak-kanak maut selepas dihempap pokok rhu yang tumbang akibat angin kencang. FOTO ihsan Pembaca
DUA mangsa termasuk seorang kanak-kanak maut selepas dihempap pokok rhu yang tumbang akibat angin kencang. FOTO ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


DUA warga Myanmar termasuk kanak-kanak maut apabila dihempap pokok rhu di Pantai Irama, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian 7.23 malam itu, Norjim Nurul Amin, 24, dan Ibrahim Budi Alam, 3, maut akibat parah di kepala.

Norjim maut di tempat kejadian manakala Ibrahim meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bachok.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai pengutip besi buruk sedang bersantai bersama beberapa ahli keluarganya yang lain sempena cuti Aidilfitri.

"Ketika kejadian kawasan itu dilanda angin kencang.

"Pokok rhu yang berada berhampiran secara tiba-tiba tumbang dan menghempap kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 12:04 AM