AHLI keluarga menuntut jenazah calon SPM 2017, Sekolah Menengah (SMU) Maahad Amir Indera Petra, Mohamad Iqbal Hafiz Mohamad Kauli, 18, yang maut ketika dalam perjalanan untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) d sekolahnya, untuk dibawa pulang ke rumah bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sri Sentosa, Jalan Beris Kubur Besar, Bachok. FOTO Rosliza Mohamed

Rosliza Mohamed

BEKAS pelajar tingkatan lima yang dalam perjalanan untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh pokok di Jalan Padang Melintang, Kota Bharu, pagi ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Iqbal Hafiz Mohamad Kauli, 17, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Ibu mangsa, Nastura Abdul Ghani, 45, berkata anaknya keluar dari rumah di Kampung Cherang Melintang, Bachok, pada 7.30 pagi untuk ke sekolah bagi mengambil keputusan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah (SMU) Maahad Amir Indera Petra di sini.

"Namun, Iqbal tidak sempat sampai ke sekolahnya yang jaraknya kira-kira satu kilometer (km) selepas motosikal jenis Yamaha LC 135LC terbabas dan merempuh pokok," katanya ketika ditemui Jabatan Perubatan Forensik HUSM di sini, hari ini.

Nastura berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada empat beradik itu.

Katanya, jenazah Mohamad Iqbal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Sri Sentosa, Jalan Beris Kubur Besar, Bachok, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata berdasarkan keterangan saksi, mangsa menunggang motosikal Yamaha LC 135LC dari Kota Bharu menghala ke Beris Kubur Besar.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan terbabas sebelum melanggar pokok di tepi jalan.

"Mangsa kemudian tercampak di atas jalan dan parah di kepala. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 3:54 PM