FAUZI (kiri) memberi taklimat ketika operasi mencari dan menyelamat empat pendaki yang sesat di Gunung Jerai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
FAUZI (kiri) memberi taklimat ketika operasi mencari dan menyelamat empat pendaki yang sesat di Gunung Jerai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nur Syazwana Mansor


EMPAT pendaki lelaki berusia 25 hingga 47 tahun dikhuatiri sesat selepas gagal menemui laluan keluar ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jerai, Yan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.08 pagi tadi.

Katanya, semua mangsa dipercayai memulakan aktiviti pendakian bermula 9 pagi semalam menggunakan trek batu kapal berhampiran telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka menghubungi pihak bomba pagi tadi bagi meminta bantuan kerana tidak menemui jalan keluar,”

katanya.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan kekuatan 12 anggota bomba, 17 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga malim gunung (REKEY).

“Usaha mengenal pasti lokasi semua mangsa sedang dilakukan dan mereka dipercayai berada di sekitar Sungai Batu Putih, lebih kurang dua jam perjalanan dari lokasi Batu Kapal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:53 PM