KEJADIAN kepala air yang melanda kawasan peranginan Titi Hayun. FOTO Ihsan Bomba.
KEJADIAN kepala air yang melanda kawasan peranginan Titi Hayun. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Kawasan peranginan air terjun Seri Perigi dan Titi Hayun, di sini, dilanda kepala air, hari ini, susulan hujan lebat di atas puncak Gunung Jerai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada 6.40 petang.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menghantar sepasukan anggota dari BBP Yan untuk melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

"Hujan lebat di atas puncak Gunung Jerai menyebabkan air mengalir deras mengakibatkan kepala air berlaku.

"Bagaimanapun ketika kejadian tiada pengunjung dilaporkan berada di situ dan tidak menjejaskan rumah penduduk berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norhamidi berkata, anggotanya kemudian menutup sementara laluan di kawasan pusat peranginan itu bagi mengelakkan orang ramai masuk di lokasi berisiko itu.

Katanya, keadaan pada masa kini masih terkawal dan operasi disertai seorang pegawai dan lima anggota dari BBP Yan.

"Selain itu, operasi turut disertai tujuh anggota RELA, dua anggota polis dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan.

"Dianggarkan terdapat 30 rumah penduduk berhampiran sungai di kawasan itu dan pihak bomba hanya memberi peringatan supaya berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 8:57 PM