PENDAKI Gunung Jerai yang terkandas akibat arus deras sungai di Pusat Rekrasi Air Terjun Titi Hayun berjaya diselamatkan. FOTO Ihsan Pembaca
PENDAKI Gunung Jerai yang terkandas akibat arus deras sungai di Pusat Rekrasi Air Terjun Titi Hayun berjaya diselamatkan. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my


SERAMAI 28 pendaki Gunung Jerai yang gagal menyeberangi sungai berdekatan Pusat Rekreasi Air Terjun Titi Hayun, Yan, akibat arus deras berikutan hujan lebat semalam, diselamatkan kira-kira 4 pagi tadi.

Mereka diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Yan yang melakukan operasi bersama dengan beberapa agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Komander Operasi dari BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba, Fauzi Shuib berkata, maklumat awal yang diperolehi sebelum ini, seramai 18 pendaki terperangkap, namun jumlah sebenar mangsa adalah 28 orang iaitu 23 wanita dan lima lelaki berusia 24 hingga 61 tahun.

Katanya, semua mereka pendaki dari Kementerian Kesihatan Negeri Perak yang melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jerai pagi semalam.

Fauzi berkata, operasi menyelamat semua mangsa mengambil masa yang lama berikutan keadaan arus sungai yang sangat kuat selain faktor hujan lebat.

"Keadaan arus sungai deras di kawasan terbabit menyebabkan pihak kami terpaksa menunggu seketika sehingga hujan reda bagi membolehkan pihak kami menghampiri semua mangsa," katanya.

Katanya, beberapa agensi lain yang terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Negara daerah Yan dan ahli Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (REKEY).

"Semua mangsa diselamatkan dengan menggunakan 'resque line' jaket keselamatan untuk menyeberangi sungai dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.30 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Presiden (REKEY) menasihati pendaki untuk mengambil pendekatan selamat dengan mendapatkan nasihat daripada jurupandu arah tempatan.

"Pendaki luar seharusnya mengambil langkah selamat dengan mengupah jurupandu tempatan dan tidak bergerak sendiri demi keselamatan.

"Juru pandu arah tempatan lebih arif dengan situasi kawasan di sini, dan sepatutnya aktiviti pendakian tidak boleh dilakukan ketika hujan lebat kerana akan menyebabkan arus deras seperti semalam," katanya.

Berita berkaitan

18 terkandas di Gunung Jerai

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 10:18 AM