Barisan calon PAS Kedah yang bertekad mahu merampas negeri itu pada PRU-14. FOTO Amran Hamid
Barisan calon PAS Kedah yang bertekad mahu merampas negeri itu pada PRU-14. FOTO Amran Hamid
Adie Suri Zulkefli; Petah Wazzan Iskandar dan Muhaamad Hafis Nawawi

PAS akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam misi untuk merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Parti Islam itu juga akan bertanding di 14 kerusi Parlimen kecuali kerusi Parlimen Langkawi yang akan ditandingi oleh Parti Ikatan, parti pakatannya dalam Gagasan Sejahtera.

Pengisytiharan nama calon berkenaan diumumkan Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurraz di Markas PAS Kedah, Alor Setar malam ini.

Beliau turut mengumumkan calon terbabit terdiri dari tokoh teknokrat seperti peguam, doktor, jurutera, ahli fizik, usahawan, bekas pegawai tinggi tentera, ahli farmasi, ahli korporat, pakar matematik, pensyarah, lagenda bola sepak Kedah dan guru.

Pada PRU-14 kali ini, PAS Kedah menampilkan 70 peratus muka baharu terdiri 32 calon lelaki untuk DUN dan 14 calon lelaki untuk Parlimen selain lima calon wanita membabitkan satu Parlimen dan empat DUN.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din yang diumumkan sebagai calon PAS bagi Parlimen Pokok Sena dan ahli farmasi, Muhamad Riduan Mohd Othman, 43, diumumkan sebagai calon Parlimen Kuala Kedah antara dua muka baharu yang ditampilkan pada PRU-14.

Radhi dijangka bertembung dengan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang akan mempertahankan kerusi terbabit di atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) dan calon dari Barisan Nasional (BN).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang Wan Romani Wan Salim, (Merbau Pulas) Datuk Siti Aisyah Ghazali dan (Sungai Limau) Mohd Azam Abd Samat dikekalkan bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman akan bertanding kerusi DUN Tokai bagi menggantikan Datuk Taulan Rasul yang tidak dicalonkan semula atas faktor kesihatan.

Taulan telah memenangi kerusi itu selama lima penggal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:35 AM