RADHI antara bekas pemain bola sepak yang dijangka bertanding PRN.
RADHI antara bekas pemain bola sepak yang dijangka bertanding PRN.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Legenda bola sepak Kedah Muhamad Radhi Mat Din kemungkinan 'menemani' bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Walaupun ketika ini tiada pengumuman rasmi berkaitan situasi terbabit namun difahamkan Radhi yang menjadi tonggak utama Kedah pada era 1980-an dan 1990-an sekali lagi disebut sebagai calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) kelak.

Radhi yang pernah menggalas cabaran sebagai penolong jurulatih Kedah dikhabarkan kemungkinan bertanding di kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Mengkudu atau Bukit Selambau.

Arena Metro yang menghubungi Radhi memaklumkan bahawa beliau menyerahkan kepada kepimpinan PAS Kedah sama ada namanya akan disenaraikan untuk bertanding atau sebaliknya.

"Saya memang ada dengar nama disebut untuk bertanding pada PRN kali ini namun setakat ini tidak boleh membuat pengesahan lebih lanjut.

"Kita tunggu dua atau tiga hari lagi mungkin akan ada pengumuman dibuat oleh kepimpinan PAS. Mengenai kawasan akan bertanding juga saya serahkan kepada mereka," katanya.

Mengikut rekod, pentas politik bukanlah asing buat Radhi apabila beliau sebelum ini pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 untuk merebut kerusi Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, nasib jelas tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada wakil parti Amanah, Mahfuz Omar dengan majoriti sebanyak 5,558 undi.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Baddrol kemungkinan besar akan bertanding dalam PRN bulan depan atas tiket PN.

Walaupun ketika ini tiada pihak yang membuat pengumuman rasmi berkaitan perkara itu namun menurut sumber dalaman PN memaklumkan kepada Arena Metro bahawa bekas pemain kebangsaan itu akan mewakili parti berkenaan untuk bertanding pada bulan depan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemain berusia 35 tahun itu sebelum dia bersetuju untuk 'terjun' dalam bidang politik dengan bertanding pada PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 3:04 PM