RADHI (kiri) dan Baddrol. FOTO arkib NSTP
RADHI (kiri) dan Baddrol. FOTO arkib NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar: Bekas kapten lagenda pasukan bola sepak Hijau Kuning, Radhi Mat Din dikatakan bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Radhi, 58, dilaporkan bakal diletak sebagai calon PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu yang ketika ini disandang, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Radhi yang memegang jawatan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Lada ketika ini, pernah menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu namun tewas di Parlimen Pokok Sena.

Keputusan PRU-14 pada 2018 menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Mahfuz Omar menang kerusi Parlimen Pokok Sena selepas mendapat 28,959 undi, menewaskan Radhi (23,401) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Said Ali Syed Rastan (18,390).

Sekiranya, Radhi yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) diletak sebagai calon PN di DUN Alor Mengkudu pada PRN kali ini, beliau dijangka berhadapan calon PH dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain skuad Lang Merah, Baddrol Bakhtiar turut dilaporkan bakal menjadi calon PN di DUN Bukit Selambau pada PRN kali ini.

Ketika ini, Baddrol masih beraksi bersama Sabah FC dan turut menjadi kapten pasukan itu namun dijangka mengumumkan persaraannya sebagai pemain profesional dalam tempoh terdekat ini.

Malam tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan PN bakal menampilkan dua bekas pemain bola sepak serta dua ahli akademik bertaraf profesor sebagai calon mewakili gabungan itu dalam PRN 12 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:40 PM