Muhammad Mustakim Ramli; Aizat Sharif dan Embun Majid


KERAJAAN sedia mempertimbangkan membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis yang dimansuhkan sejak 2015.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengambil maklum titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini yang berharap zon berkenan dapat dibuka semula bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Saya mendengar titah Tuanku (Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) dan tiada masalah untuk membuka semula kawasan ini.

“Namun, sebelum itu kita harus bersama-sama memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan Jentera BN Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, hari ini.

Katanya, bukan itu sahaja, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan kajian kebolehupayaan (feasibility study) ke atas cadangan untuk menaik taraf jeti Kuala Perlis sebagai pelabuhan kapal kargo.

PINTU masuk Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Padang Bear yang suram berikutan arahan pemansuhan free flow sejak 2015. FOTO ARKIB Eizairi Shamsudin
PINTU masuk Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Padang Bear yang suram berikutan arahan pemansuhan free flow sejak 2015. FOTO ARKIB Eizairi Shamsudin

“Selain itu juga, kita sedia mempertimbangkan cadangan kerajaan negeri Perlis untuk mewujudkan zon bebas cukai di Padang Besar.

“Insya-Allah... segala permohonan ini akan dapat ditunaikan dengan syarat kita (BN) terus menerajui Perlis 100 peratus pada PRU (pilihan raya umum) nanti,” katanya.

Sebelum ini, Raja Perlis ketika majlis Pecah Tanah Jeti Bersepadu Sanglang baru-baru ini, bertitah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadap baginda di Istana Arau, agar dapat membuka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian bagi menarik semula sektor pelancongan serta ekonomi di kawasan itu.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Pengerusi Perhubungan BN Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam ucapannya memohon pertimbangan kerajaan persekutuan terhadap beberapa cadangan jentera BN negeri itu seperti mewujudkan Zon Bebas Cukai seperti Bukit Kayu Hitam di kawasan Padang Besar, membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian serta menaik taraf jeti Kuala Perlis sebagai pelabuhan kapal kargo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 3:46 PM