ISMAIL Sabri  bersama pelajar dan tetamu yang hadir selepas Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat @KKLW Peringkat Kebangsaan.
ISMAIL Sabri bersama pelajar dan tetamu yang hadir selepas Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat @KKLW Peringkat Kebangsaan.
SEBAHAGIAN pelajar  sekitar Temerloh pada  Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Kebangsaan di Dewan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar.
SEBAHAGIAN pelajar sekitar Temerloh pada Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Kebangsaan di Dewan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Temerloh: Program Tuisyen Rakyat@KKLW yang diperkenalkan Kementerian Luar bandar dan Wilayah (KKLW) memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar terutama di kawasan luar bandar dalam membantu meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu menunjukkan peningkatan dari segi jumlah pelajar iaitu 22,068 membabitkan 438 pusat pada 2016 dan 28,110 (577 pusat) pada 2017.

Katanya, tahun ini 30,000 pelajar terpilih mengikuti program itu di 594 pusat di seluruh negara.

“Program ini memberi kelas bimbingan tambahan percuma kepada calon-calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita juga memperluaskannya ke semua 222 Parlimen di seluruh negara membabitkan peruntukan kira-kira RM10 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian Temerloh, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Zahida Zarik Khan.

Pada majlis itu, 17 pelajar dalam kawasan Parlimen Temerloh yang mencapai keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 6A dalam peperiksaan SPM 2017 menerima anugerah.

Mengulas pencapaian pelajar yang mengikuti program itu, Ismail Sabri berkata, keputusan peperiksaan UPSR menunjukkan jumlah murid yang lulus semua subjek meningkat 14 peratus berbanding peperiksaan percubaan.

“Keputusan peperiksaan SPM tahun lalu juga menunjukkan peningkatan yang begitu memberangsangkan. Kita memberi penekanan kepada lima subjek teras yang sering menjadi killer subject kepada pelajar ini iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah bilangan subjek dalam program itu namun ia memerlukan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Katanya, program itu berkonsepkan tanggungjawab sosial komuniti membabitkan pelbagai agensi di bawah KKLW seperti Yayasan Pelajaran MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kita turut mendapat kerjasama daripada Celcom Axiata Berhad yang memberi sumbangan RM495,000 kepada 11 pusat dan sekiranya ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain yang mahu turut serta dalam program ini, kita amat mengalu-alukannya,” katanya.

Sementara itu, pelajar cemerlang, Nur Evinia Jezzyra Arnold, 18, yang mengikuti tuisyen berkenaan kira-kira lima bulan sebelum peperiksaan itu berkata, program itu banyak membantunya meningkatkan pemahaman terhadap subjek yang diajar di dalam kelas.

“Saya tinggal di asrama jadi agak sukar untuk saya mengikuti kelas tuisyen di luar. Dengan adanya program ini membantu saya mengulang kaji dengan lebih mendalam terhadap subjek yang diajar di dalam kelas.

NUR Evinia Jezzyra
NUR Evinia Jezzyra

“Selain itu, guru turut mengulang kaji subjek yang diajar ketika di tingkatan empat dan ini dapat meningkatkan pemahaman saya,” katanya yang memperoleh 6A dalam SPM 2017 yang diumumkan baru-baru ini.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Sentang, Noraini Kassim berkata, prestasi pelajarnya menunjukkan peningkatan positif selepas mengikuti program Tuisyen@KKLW itu.

“Walaupun program ini baru dilaksanakan di sekolah saya sejak awal tahun ini, semua 28 pelajar saya menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan.

“Ia memudahkan pelajar untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak semua pelajar mampu mengikuti kelas tuisyen di luar,” katanya.

Tuisyen@KKLW memfokuskan pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai penguasaan akademik lemah serta sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:47 AM