VERONICA (tengah) bersama Siti Sarimah (kanan) pada pengumuman keputusan SPM di SMK Aminuddin Baki, semalam.
VERONICA (tengah) bersama Siti Sarimah (kanan) pada pengumuman keputusan SPM di SMK Aminuddin Baki, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Meskipun hanya belajar dua jam sehari di sekolah, atlet renang berirama negara, Veronica Lee, 18, tetap mampu meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu memperoleh semua A iaitu 2A+, 5A dan 2A- dalam sembilan mata pelajaran yang diambil, justeru menjadikannya antara 32 pelajar mendapat keputusan cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini.

Menurut Veronica, dia tidak dapat mengikuti waktu pembelajaran seperti pelajar lain kerana terikat dengan jadual latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) hampir setiap hari untuk persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini.

Katanya, pada hari persekolahan, dia hanya hadir dua jam di sekolah sebelum berkejar ke pusat latihan untuk berlatih hingga petang.

“Namun bagi memastikan tidak tertinggal dalam pelajaran, pada sebelah malam dan hujung minggu, saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengulang kaji pelajaran termasuk mengikuti kelas tuisyen.

“Kalau diikutkan memang penat tapi semua pengorbanan itu nyata berbaloi dengan keputusan diperoleh hari ini,” katanya ketika ditemui mengambil keputusan SPM di sekolahnya, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, disebabkan keputusan peperiksaan percubaannya tidak begitu memberangsangkan iaitu 6A 2C, dia terpaksa menggandakan ulang kaji dalam tempoh tiga bulan terakhir bagi memastikan impiannya memperoleh 9A tercapai.

Katanya, biarpun dalam tempoh berkenaan, dia tidak mempunyai rehat mencukupi namun perkataan mengalah tiada dalam kamus hidupnya.

“Sibuk dengan latihan bukan penghalang cemerlang dalam pelajaran. Saya mahu berjaya dalam kedua-duanya (sukan dan pelajaran) bagi memberi contoh kepada atlet serta pelajar lain.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada warga SMK Aminuddin Baki terutama Pengetua Siti Sarimah Shaik Abdul Rahman yang sentiasa membantu termasuk mengaturkan pemandu sekolah mengambil dan menghantar setiap pagi dari asrama penginapan atlet (Bukit Jalil) selama dua tahun bagi memastikan saya hadir ke kelas,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarimah berkata, 32 daripada 164 pelajarnya memperoleh keputusan 9A dalam keputusan SPM 2016 yang diumumkan, semalam.

“Sekolah ini merekodkan kelulusan peperiksaan 100 peratus dan empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 9:38 AM