Wanita direman tiga hari bantu siasatan kes memuat naik status hina Menteri Besar Terengganu. FOTO Syafiq Ambak.
Wanita direman tiga hari bantu siasatan kes memuat naik status hina Menteri Besar Terengganu. FOTO Syafiq Ambak.
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA yang juga kontraktor direman tiga hari sehingga Rabu ini selepas dipercayai memuat naik status menghina Menteri Besar Terengganu di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Perintah reman terhadap suspek berusia 44 tahun dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, suspek ditahan di sebuah rumah di daerah ini, 3.20 petang semalam.

Turut dirampas seunit telefon bimbit jenama Samsung.

Suspek dikatakan memuat naik dua keping gambar Menteri Besar Terengganu yang diubah suai serta komen yang berniat jahat, menghasut dan memfitnah Menteri Besar di WhatsApp.

Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati mengenai satu projek.

Terdahulu, lebih 30 individu membuat laporan polis berhubung status dimuat naik suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 12:28 PM