Afifie menunjukkan resit bayaran denda yang dijelasnya di Mahkamah Majistret Dungun hari ini. Foto Rosli Ilham
Afifie menunjukkan resit bayaran denda yang dijelasnya di Mahkamah Majistret Dungun hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Wanita yang diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu selepas memuat naik video menunggang motosikal Yamaha RX-Z tanpa mempamerkan nombor pendaftaran hadapan mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun di sini, hari ini.

Afifie Laila Abdullah, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Noradila kemudiannya membuat keputusan bahawa Afifie didenda sebanyak RM400.

Mengikut pertuduhan, Afifie didakwa menunggang motosikal tanpa mempamerkan nombor pendaftaran hadapan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Padang Pulut pada 12 Mac lalu mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM3,000.

Dia turut berdepan penjara selama dua hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Afifie yang berasal dari Kampung Padang Pulut itu menjelaskan denda terbabit.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPJ Terengganu, Samsul Ab Wahab.

Berita berkaitan

Dapat saman JPJ lepas pamer kecekapan tunggang RX-Z

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 12:52 PM