Rosli Ilham

Dungun: Lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes dipercayai membunuh isterinya yang berusia 41 tahun dalam kejadian di Kampung Besol Bukit Besi, di sini, pagi semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun, jam 8.40 pagi ini dan perintah tahanan reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Noradila Ab Latif.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Rabu depan.

Menurutnya, tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu dibuat semalam, sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

SUSPEK yang dipercayai membunuh isterinya dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk perintah reman. FOTO Rosli Ilham
SUSPEK yang dipercayai membunuh isterinya dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk perintah reman. FOTO Rosli Ilham

Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai bertindak membunuh isterinya, Rubiah Sabtu dengan mengetuk di bahagian muka dan kepala.

Kejadian itu berlaku kira-kira 8 pagi selepas mangsa pulang ke rumah sebaik selesai menghantar seorang anaknya di sebuah sekolah berdekatan.

Suspek dipercayai bertindak memukul bahagian muka dan kepala isterinya itu dipercayai disebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Hentakan kuat terbabit menyebabkan terdapat enam kesan kecederaan serius di bahagian mata kanan serta di bahagian dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 10:26 AM