Mangsa yang tersepit diselamatkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba
Mangsa yang tersepit diselamatkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


BERLAKU kesesakan lalu lintas lebih dua jam di Lebuh Raya PLUS arah selatan berikutan berlaku kemalangan membabitkan dua treler dan sebuah lori di Kilometer 15.4 berhampiran Plaza Tol Skudai, hari ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira 10.15 pagi itu, menyebabkan tiga mangsa cedera ringan, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai yang juga Pegawai Operasi, Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.42 pagi sebelum 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sembilan anggota dari BBP Skudai turut diarah ke lokasi kemalangan bagi menghulurkan bantuan ketika operasi.

"Ketika kami tiba di lokasi, kita bertindak membantu mengeluarkan mangsa-mangsa sebelum mereka dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi menyelamatkan mangsa kemudian ditamatkan pada 11.45 pagi.

Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku ketika dua treler berkenaan bergerak di lorong kiri secara perlahan untuk mengambil lorong di plaza tol sebelum lori yang dari lorong kanan masuk ke lorong kiri secara tiba-tiba untuk berada di antara dua treler itu.

Tindakan melulu pemandu lori itu menyebabkan treler di belakang tidak sempat berhenti dan berlaku perlanggaran membabitkan tiga kenderaan berat berkenaan.

Pada masa sama, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara turut memberi bantuan bagi melancarkan trafik ke arah utara dan membantu untuk laluan alternatif.

Menerusi Twitter Plus Trafik, trafik di lebuh raya itu mula perlahan dari 10.54 pagi dan kembali terkawal pada 1.37 petang selepas semua lorong kenderaan dibuka semula.

#kw kesesakan lalu lintas, kemalangan tiga kenderaan

#loc 1.5343616, 103.6594267

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 5:42 PM