TRELER membawa muatan kayu terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua lori tangki di Kilometer 254.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Senawang, Seremban, hari ini, yang menyebabkan seorang pemandu lori tangki maut. (Gambar kecil) Palani. FOTO Adzlan Sidek.
TRELER membawa muatan kayu terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua lori tangki di Kilometer 254.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Senawang, Seremban, hari ini, yang menyebabkan seorang pemandu lori tangki maut. (Gambar kecil) Palani. FOTO Adzlan Sidek.
Ifwan Tun Tuah


“KAMI sempat keluar sebelum treler membawa muatan kayu terbabas merempuh lori kami,” kata V Palani, 70, pemandu lori tangki yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi lori tangki dan treler di Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 5.46 pagi di Kilometer 254.3 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang itu, pemandu lori Mohd Umar Redaman, 48, maut di tempat kejadian, manakala pemandu treler cedera.

Menceritakan kejadian itu, Palani yang membawa muatan air berkata, bahagian belakang lorinya dilanggar lori tangki membawa cecair lateks menyebabkan dia memberhentikan kenderaan itu di tepi jalan.

“Saya dan kelindan turun untuk memeriksa sebelum mendapati lori tangki yang melanggar kami melintang di tengah jalan.

“Tiba-tiba, sebuah treler merempuh kepala lori tangki itu sebelum terbabas dan melanggar lori kami pula.

“Lori kami terbalik ke dalam longkang manakala treler itu pula terbalik dan melintang di tengah jalan. Kami bernasib baik tidak berada di dalam lori berkenaan ketika itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori tangki lateks terbabit tercampak keluar akibat rempuhan itu dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan teruk selama hampir dua jam apabila laluan dari Senawang ke Pedas Linggi itu terpaksa ditutup sepenuhnya bagi kerja mengalihkan semua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu sebelum dibuka semula pada 9.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata kenderaan dari arah Kuala Lumpur yang menuju selatan dilencongkan keluar melalui Plaza Tol Senawang dan menggunakan Jalan Seremban-Tampin sebelum masuk semula ke PLUS melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

“Pada 9.10 pagi, dua lorong menuju ke arah selatan termasuk satu lorong kontra dibuka semula bagi melancarkan aliran trafik.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.47 pagi dan tiga jentera dengan 15 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Kami dapati kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan kayu dan dua lori tangki di laluan menghala ke selatan.

“Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Berita berkaitan

'1 maut, 3 lori bertembung'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 4:16 PM